Wednesday, 20 June 2012

Pemuda Yang Dijanjikan

Generasi muda merupakan tulang belakang bagi sesebuah negara. Jika akhlak mereka sempurna maka begitulah juga keadaan negara tersebut pada masa akan datang dan begitu juga sebaliknya. Dewasa kini, zaman yang penuh dengan cabaran khususnya kepada umat Islam menyaksikan kebanyakan golongan muda hanyut dan terus dibuai mimpi dengan keseronokan duniawi. Ramai dalam kalangan pemuda di negara yang majoritinya beragama Islam disuap dengan pelbagai hiburan oleh media media barat dan tidak terkecuali Malaysia.Saban hari semakin kita menyaksikan keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan belia di negara kita.Namun disebalik terjadinya perkara tersebut, semakin ramai anak-anak muda bangkit untuk menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia ini. 


Sepanjang saya hidup selama 22 tahun, baru hari ini saya mengetahui kisah tentang beberapa orang pemuda Islam Melayu yang turut serta berjihad menyertai angkatan perang Mujahiddin menentang pencerobohan Kesatuan Soviet (sekarang dikenali sebagai Rusia) pada 31 Disember 1978 di bumi Afghanistan. Dalam kalangan beberapa orang pemuda tersebut, salah seorang daripadanya telah dipanggil menjadi tetamu Allah SWT sebagai peminang bidadari.


Beliau ialah As Syahid Fauzi. Dilahirkan pada 1 September 1962 di Kampung Pantai Cicak, Sidam kiri, Kedah. As Syahid merupakan seorang pemuda biasa yang hanya berkelulusan SPM sahaja dan tidak mempunyai pendidikan khusus di mana-mana sekolah agama.Sungguhpun begitu, beliau mempelajari pelajaran Al-Quran dan juga fardhu ain secara tidak formal. Beliau pernah bekerja sebagai seorang buruh asing di Singapura sebelum pulang ke kampung dan membuka sebuah kedai runcit secara kecil-kecilan. 

As Syahid merupakan seorang pemuda yang rajin menghadiri usrah anjuran ABIM pada ketika itu. Di sana, beliau sering mendegar tazkirah mengenai jihad serta kisah perjuangan pahlawan Islam. Hasil daripada itu, maka hatinya terpanggil untuk meyertai perjuangan jihad mujahidin di Afghanistan. As Syahid dan beberapa orang rakannya bertekad untuk mengumpul wang bagi membiayai tambang perjalanan mereka untuk sampai ke sana.

Pada 1988 As Syahid serta rakan-rakannya berangkat menuju ke sempadan Pakistan-Afghanistan, tempat di mana para Mujahidin dari seluruh dunia berkumpul sebelum masuk ke Afghanistan. Di sana, mereka diajar teknik dan taktik peperangan serta dilatih menggunakan senjata.  Sewaktu berada di sana, beliau sering bermimpi meminang bidadari.

Akhirnya, pada 1 September 1989 mimpi As Syahid menjadi realiti apabila pos yang dikawal beliau bersama rakannya di Bukit Quba', Afghanistan telah terkena tembakan mortar. Kejadian itu telah menyebabkan rakannya mengalami kecederaan parah dan As Syahid telah dipanggil menghadap Ilahi dalam keadaan wajahnya yang tersenyum kegembiraan.

Berita mengenai kesyahidan beliau disambut dengan tenan oleh oleh ahli keluarga yang berada di tanah air. Cita-cita As Syahid Fauzi untuk menjadi peminang bidadari telah dimakbulkan oleh Allah SWT.

"dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya". AL-BAQARAH=154

Begitulah sedikit coretan yang dapat saya karangkan mengenai kisah hidup seorang pemuda biasa berusaha mendapatkan kemuliaan di sisi ALLAH SWT. Jadi tidakklah mustahil bagi kita untuk mendapatkan "tiket" bagi menjadi seorang syuhada. Oleh itu kita hendaklah berusaha sedaya mungkin untuk melakukan sesuatu perkara ikhlas kerana Allah tanpa ada sebarang sifat-sifat munafik dalam diri kita. Hal ini kerana dengan keikhlasan kepada Allah SWT sahajalah dapat melahirkan manusia yang beriman dan bertanggungjawab.
Kita perlulah mencontohi sikap As Syahid Fauzi dan rakan-rakannya. Mudah-mudahan kita menjadi Pemuda Islam Yang Dijanjikan.



No comments:

Post a Comment